11 kes baharu positif Covid-19

KUCHING: Sarawak telah mencatatkan 11 kes baharu positif Covid-19 semalam menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 129 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kesemua 11 kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Daripada 11 kes positif tersebut, enam (6) adalah lelaki dan lima (5) adalah perempuan.

“Pada hari ini (Ahad), sebanyak 49 kes baharu individu dalam siasatan (PUI) yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,126 kes,” katanya dalam sidang media, semalam.

Beliau merangkap pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), turut memberitahu daripada jumlah itu, 915 kes adalah negatif dan 82 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

“Sehingga kini, Sarawak telah merekodkan lima kematian sejak kes pertama dilaporkan pada 17 Mac 2020 dan 9 kes telah discaj dari hospital,” jelasnya.

Beliau berkata semalam, JPBN turut menentukan Daerah Zon Merah (Hotspot) di Sarawak mengikut Daerah seperti berikut Kuching (69), Samarahan (16), Betong (8), Sarikei (6), Bintulu (5), Miri (9) dan Limbang (6).

“Manakala Zon Kuning adalah Serian (3), Sibu (3), Mukah (1), Matu (1),Lawas (1) dan Simunjan (1),” ujar Uggah.

Tambah beliau, kawasan-kawasan zon merah akan dinilai oleh pihak Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian bagi proses sanitasi di kawasan yang sepatutnya dan ini adalah arahan daripada pihak kerajaan dari Kuala Lumpur.

“Beliau akan bersama dengan pihak Bomba akan melakukan proses sanitasi tersebut,” kata Uggah.