Seni Khat jadi penyeri ruang

MEMORIā€¦ Abdul Karim Wen (dua kiri) ketika bersama penduduk yang menerima hasil kraftangan Seni Khat daripadanya.

VALENTINE NGUMBANG

Jika anda berkunjung ke Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat dalam Bandar Simanggang, anda mungkin akan menyedari kehadiran seni khat yang dipasang pada bingkai gambar di dinding premis berkenaan.

Pada fikiran pengunjung bank, Seni Khat tersebut mungkin dibeli dari kawasan luar Sri Aman sebelum ia dibawa dan dilekat di dalam bank berkenaan bagi tujuan perhiasan untuk kakitangannya.

Bagaimanapun jika pengunjung berfikir demikian maka mereka adalah silap. Ini kerana Seni Khat berkenaan sebenarnya ditempah khas daripada seorang penduduk tempatan dari Jalan Stawang di sini yang memiliki kemahiran menghasilkan kraftangan tersebut.

“Saya mula berkecimpung dalam bidang penghasilan Seni Khat semenjak tahun 2000,” kata Abdul Karim Wen, 66, ketika ditemui Utusan Sarawak berhubung penghasilan Seni Khat dan kraftangan-kraftangan lain di kediamannya Jalan Stawang.

Minatnya terhadap Seni Khat bermula apabila dia berkunjung ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia untuk melihat penghasilan kraftangan di sana sebelum tahun 2000 dahulu.

Negeri-negeri tersebut iaitu Trengganu, Kelantan, Melaka, Pahang, Perak,Selangor, Pulau Pinang kata Karim memiliki banyak hasil kraftangan yang menarik dengan salah satunya adalah Seni Khat.

“Saya terus jatuh cinta terhadap Seni Khat apabila berkunjung ke Pasar Semi, Kuala Lumpur setelah berkunjung ke negeri-negeri berkenaan untuk menimba ilmu mengenai penghasilan kraftangan di sana.

“Dari situ saya mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam penghasilan Seni Khat dan beberapa kraftangan lain di kediaman saya di Jalan Stawang, Bandar Simanggang sehingga sekarang,” kata beliau.

Karim berkata beliau akan mula menghasilkan khat jika stok kraftangan tersebut mula berkurangan di rumahnya ekoran permintaan ramai penduduk yang memerlukan barangan itu sebagai perhiasan di rumah atau tempat kerja.

Sebelum menghasilkan khat katanya, bingkai gambar perlu disediakan terlebih dahulu dengan ayat-ayat bagi tujuan tersebut sudah pun direka khas dengan ayat-ayat tertentu dari Al-Quran.

Disebabkan kebolehannya dalam menghasilkan khat, beberapa pihak katanya telah mula menempah Seni Khat tersebut daripada beliau untuk tujuan hiasan di rumah bersama perabot yang lain.

“Jika mempunyai masa lapang saya akan menerima tempahan tersebut. Saya boleh menghasilkan antara lapan hingga 10 khat sehari bergantung kepada persediaan bingkai bagi menghasilkan khat-khat berkenaan di rumah.

“Antara pihak yang pernah menempah Seni Khat daripada saya sebelum ini ialah para pegawai dan anggota pangkat rendah di Kem Pakit, penjawat awam dan premis swasta dalam Bandar Simanggang ini,” kata beliau.

Karim yang turut mesra dengan panggilan Uncle Samm dalam kalangan penduduk di penempatanya juga memberitahu turut mempunyai kemahiran dalam menghasilkan parang ilang, terabai, puak kumbu, bakul anyaman dan banyak lagi.

Katanya lagi dia akan terus mengasah kemahiran tersebut sehingga ke akhir hayat dan akan menerima tempahan daripada mana-mana penduduk selagi mempunyai waktu terluang untuk berbuat demikian.

“Dahulu, menghasilkan kraftangan adalah salah satu minat saya. Namun semenjak bersara daripada perkhidmatan kerajaan, menghasilkan kraftangan terutama sekali Seni Khat sudah menjadi hobi untuk mengisi waktu lapang di rumah.

“Ini nasihat saya kepada anda di luar sana terutama sekali pesara. Jika boleh pilih satu hobi yang sesuai buat diri masing-masing dan manfaatkannya untuk mengisi waktu lapang ketika berada di rumah kelak,” kata Karim.

Beliau yang juga merupakan pemilik syarikat Simanggang Creative Global itu juga turut pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya ialah Pengerusi KRT Kampung Stawang, Yang Dipertua PIBG SK Abang Aing dan banyak lagi.

Orang ramai yang ingin melihat secara lebih dekat hasil pembuatan kraftangan Seni Khat dan lain-lain boleh berkunjung ke kediaman beliau sendiri di Nombor 6 A, Lot 1496, Jalan Stawang, Bandar Simanggang.