Pakej PRIHATIN menyeluruh

KUCHING: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri disifatkan sebagai satu bentuk bantuan yang merangkumi semua golongan masyarakat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pakej rangsangan ekonomi itu dilihat dapat membantu semua rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

“Tidak terkecuali golongan orang kelainan upaya (OKU), gelandangan dan  warga emas juga tersenarai untuk menikmati bantuan di bawah pakej ini.

“Pakej PRIHATIN ini merupakan berita baik untuk semua kerana turut memberi fokus kepada  golongan tersebut serta kumpulan sasar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Fatimah, tidak ada satu golongan pun akan tercicir daripada senarai malah ia bukan sahaja meliputi golongan di bawah kategori B40 tetapi juga M40.

Tambahnya, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, rakyat khususnya pekerja harian, penjaja kecil termasuk golongan lain yang berpendapatan rendah cukup terkesan dari segi pendapatan mereka.

Justeru, dengan adanya bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan ini ditambah bantuan daripada Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang, rakyat kini boleh menarik nafas lega, ujarnya.

Sementara itu peruntukan RM25 juta bagi menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan kepada warga emas, kanak-kanak di rumah perlindungan, OKU, gelandangan dan orang asal pula akan ditentukan kemudian selepas perbincangan lanjut, kata Fatimah. Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah pengagihan bantuan itu harus dipercepatkan dan sampai kepada rakyat dalam tempoh masa yang terdekat.