Tiada masjid, surau langgar arahan

KUCHING: Belum ada laporan 1,400 masjid dan surau di Sarawak melanggar arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak setakat ini.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, keadaan masjid dan surau di negeri ini masih dalam keadaan terkawal dan boleh dikatakan telah berjaya mematuhi arahan yang ditetapkan buat masa ini.

“Setakat ini, belum ada masjid di Sarawak melanggar arahan solat Jumaat dan belum ada mengadakan aktiviti di masjid termasuk solat berjemaah.

“Alhamdulillah, masjid dan surau mematuhi arahan kerajaan pada ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan barang makanan kepada keluarga yang terjejas di kawasan Seberang Hilir di ruang luar Masjid Darul Hana, di sini semalam.

Sebelum ini, media ada melaporkan seramai 116 jemaah masjid ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kesemua yang ditahan menjalankan solat jumaat di lima buah masjid di sebuah daerah.

Selain aktiviti jemaah di masjid, terdapat beberapa individu yang ditahan kerana mengadakan aktiviti larian di beberapa kawasan.