2,385 isi rumah terima bantuan makanan

KUCHING: Sebanyak 2,385 isi rumah telah dikenal pasti oleh Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai untuk diagihkan barang makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, jumlah ini merangkumi 46 kampung di seluruh DUN berkenaan.

“Kita telahpun memaklumkan kepada ketua masyarakat dan ketua kaum di kawasan DUN Pantai Damai dengan menyenaraikan nama ataupun keluarga-keluarga di kampung dan taman perumahan yang terjejas dan terputus bekalan makanan sepanjang PKP ini diumumkan.

“Untuk setakat ini, pengangihan barang makanan telahpun kita laksanakan sejak empat hari lepas dan telahpun menyampaikan sumbangan kepada lapan buah kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan barang makanan kepada keluarga yang terjejas di kawasan Seberang Hilir di ruang luar Masjid Darul Hana, semalam.

Pengagihan ini dilakukan secara berperingkat dan akan diagihkan oleh kakitangan Pusat Khidmat DUN Pantai Damai dan ia akan dihantar dari kampung ke kampung melalui kerjasama ketua kaum dan ketua kampung.

“Untuk kawasan Seberang Hilir pula, sebanyak 835 keluarga telah dikenal pasti yang mana ia melibatkan 14 buah kampung dari Kampung Boyan hingga Kampung Bintawa Batu,” ujarnya lagi.

Penghantaran makanan ini akan dilakukan secara berterusan.

“Diharapkan dengan adanya bantuan ini, kita dapat mengurangkan sedikit bebaan keluarga yang terjejas,” katanya lagi.

Setakat ini, pihaknya telah mendapat kerjasama daripada SACOFA dan Sarawak Energy Berhad untuk sama-sama membantu keluarga yang terputus bekalan makanan.

“Pengurusan Masjid Darul Hana juga telah menyalurkan RM20, 000 bagi membantu membeli makanan ini khas untuk penduduk Seberang Hilir,” tambahnya.