Tiga pintu masuk baharu turut dipantau

KUCHING: Tiga pintu masuk ke Sarawak yang baharu iaitu Long Singut, Long Busang dan Tapak Megah di bahagian Kapit akan juga dipantau untuk mengekang kemasukan individu yang dijangkiti Covid-19 merentasi sempadan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata sepanjang bulan April, kesemua pintu masuk termasuk tiga yang baharu itu akan dipantau dengan ketat supaya tiada individu yang dijangkit Covid-19 merentas sempadan negeri.

“Seramai 876 anggota keselamatan akan memantau semua pintu masuk di sempadan Sarawak-Kalimantan sepanjang lebih 900 kilometer.

“Pintu keluar masuk ini juga termasuk tiga Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), dan 43 jalan gajah dan jalan tikus yang dikenalpasti terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz,” kata Masing.

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur, di sini, Jumaat lalu.

Beliau menambah semasa krisis kesihatan yang disebabkan oleh Covid-19, adalah sangat penting untuk pintu-pintu masuk secara haram ini ditutup.

“Ini dikecualikan untuk tiga CIQ iaitu Biawak, Lubok Antu dan Entikong yang akan terus dibuka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pihak jawatankuasa juga telah diberi jaminan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Imigresen bahawa kesemua pintu masuk dikawal rapi sepanjang masa oleh polis dan ATM.

“Sepanjang wabak ini, pasukan beruniform inilah yang memantau dan mengawal pintu sempadan supaya tiada individu yang menyeludup masuk,” kata Masing.

Katanya lagi, beliau gembira kerana anggota polis dan ATM yang mengawal selia peritah PKP telah melakukan kerja yang baik dan rakyat Sarawak juga memberi kerjasama.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Ik Pahon Joyik dan Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Safri Zainuddin.