Pasar basah Miri dibenar beroperasi

MIRI: Pasar tamu di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Miri (MBM) dibenarkan beroperasi semula bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barang keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) ketika ini.

Bagaimanapun, peniaga hanya dibenarkan mula berniaga dari pukul 7.00 pagi hingga 2.00 petang.

Mereka juga diingatkan mematuhi PKP yang telah dilanjutkan sehingga 14 April.

Pasar tamu yang dibenarkan kembali beroperasi itu ialah Tamu Muhibbah, Tamu Khas, Tamu Kadayan, Tamu Dato Hj Ahmad Lai, Tamu Morsjaya , Tamu Taman Tunku dan Tamu Pujut Corner.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii berkata, pasar tamu itu dibenarkan kembali beroperasi bagi mengelak tamu-tamu yang dibenarkan beroperasi sebelum ini sesak diikunjungi orang ramai.

Selain itu, katanya, ia bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barang keperluan di tamu-tamu berhampiran kediaman mereka.

“Kami menasihatkan peniaga dan pengunjung supaya mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dan sentiasa menjaga kebersihan diri dengan menggunakan topeng penutup muka dan hidung serta pencuci tangan,” katanya kepada pemberita ketika melakukan pemantauan di Tamu Muhibbah, Tamu Kedayan dan Tamu Khas di sini, semalam.

Adam berkata, setiap pengunjung akan diperiksa suhu badan sebelum mereka dibenarkan masuk dan anggota penguatkuasa akan ditempatkan di situ bagi mengawal pergerakan pengunjung supaya mematuhi arahan. Menurut beliau, pihaknya juga akan melakukan pembersihan membasmi kuman selepas  waktu operasi tamu ditutup pada 2.00 petang.