Belia 4B sumbang cecair pembasmi kuman

KOTA BHARU: Pertubuhan Gerakan Belia 4B Kelantan semalam menyumbang cecair pembasmi kuman dan penutup mulut dan hidung bagi kegunaan pengamal media di negeri ini yang bertugas ketika wabak Covid19 ini.

Pengerusinya Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, ia sebagai menghargai tugas pengamal media yang mempertaruhkan diri mereka turun ke padang mendapatkan berita tepat sebagai makluman kepada masyarakat terutama semasa negara berdepan dengan penularan wabak itu.

“Pengamal media antara barisan hadapan yang perlu diberikan prihatin ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyampaikan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa.

“Mereka berdepan risiko yang mengancam nyawa semasa menjalankan tugas mendapatkan berita sahih terutama daripada pihak berkuasa dan pemimpin negara mengenai isu ketika ini yang banyak ditularkan.

“Tugas wartawan terdedah dengan pelbagai kemungkinan bahaya. Peranan mereka penting ketika ini berikutan banyak berita tidak sahih ditularkan sehingga menimbulkan kegelisahan masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini, semalam. Sementara itu, Shahrul Fadhel turut memohon pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dapat memberikan insentif kepada pengguna ketika pelaksanaan PKP ini.

“Dalam mengharungi situasi getir penyebaran wabak Covid-19, kami memohon agar AKSB dapat memberikan insentif tertentu dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat Kelantan dalam tempoh PKP ini,” katanya. – Bernama