Nelayan Kuala Lawas beroperasi untuk keperluan rakyat

AWANG KUSHAIRY JUNAIDI

KUALA LAWAS: Golongan nelayan, petani serta pengusaha ternakan di negeri ini adalah mereka yang dibenarkan untuk meneruskan kerja harian mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa sekarang.

Langkah itu amat melegakan memandangkan mereka perlu keluar mencari hasil untuk dijual kepada orang ramai, selain untuk mencari nafkah untuk keluarga.

Nelayan adalah antara yang masih dibenarkan untuk menjalankan aktiviti, agar bekalan makanan untuk rakyat terus terpelihara.

Semalam, sempat meninjau aktiviti menangkap ikan oleh beberapa nelayan di lokasi perairan berhampiran Kuala Lawas, di Lawas.

Keluar seawal jam 6 pagi, kelihatan lebih 20 buah bot memunggah pukat hanyut, serta jaring, malah ada yang membawa pancing.

Semuanya itu adalah untuk mencari apa jua hasil tangkapan hidupan di perairan, terutamanya ikan, sotong dan ketam, untuk dijual kepada penduduk kampung dan sekitar.

“Kami keluar seawal mungkin, memasang pukat di satu-satu lokasi dan kembali semula untuk memungut hasil tangkapan,

“Jumlah tangkapan kadang-kadang tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya, ia dapat memberi bekalan kepada rakyat yang memerlukan,” kata salah seorang nelayan,Nordin Ahmad, semasa ditemui di jeti Kampung Haji Bayan, semalam.

Dayang Kula Ahmad dan suami, Maidin Ismail, juga hampir setiap hari turun ke laut dan membawa pulang hasil tangkapan untuk dijual kepada rakyat.

“Jika kami tidak menangkap ikan atau apa jua hidupan, penduduk akan sentiasa tertanya-tanya, sama ada terdapat bekalan ikan atau tidak untuk dibeli.

“Tambahan pula, dalam tempoh perintah kawalan pergerakan sekarang, mereka khuatir untuk pegi jauh ke pasar ikan di pasar Lawas,” kata Dayang semasa ditemui sedang mengasing-asingkan ikan tangkapan oleh suaminya.

Selain menangkap ikan di laut dan muara sungai, ada dalam kalangan mereka yang turut memasang perangkap ketam.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, juga memutuskan untuk membenarkan petani, pengusaha ternakan dan nelayan meneruskan kerja harian mereka dengan melonggarkan perintah kawalan gerakan terhadap Covid-19.