Pastikan bekalan makanan mencukupi

ALEXANDRA LORNA

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sarawak (KPDNHEP) diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 Pusat Jualan dan Kedai Runcit (Point of Sales – POS) di seluruh Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Ali Hasan berkata KPDNHEP juga harus memastikan harga makanan mestilah dikawal mengikut harga borong.

“Kesemua pusat jualan/kedai runcit ini dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 4.00 petang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan di Wisma Sumber Alam, di sini semalam.

Awang Tengah menambah kesemua 800 POS yang kebanyakan berada di luar bandar akan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk penduduk di kawasan luar bandar.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan berjumlah RM16.4 juta, untuk membekalkan makanan asas kepada golongan sasar di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan bertanggungjawab memastikan bekalan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung mencukupi dalam tempoh PKP, termasuk pada musim perayaan yang akan datang.

“Perbincangan juga dibuat berkenaan dengan kapasiti dari segi logistik, pengagihan bekalan, mengenalpasti kumpulan sasar untuk menerima bantuan makanan.

“Jawatankuasa ini telah bermesyuarat dua kali dan pada hari ini, saya ingin membuat pengumuman mengenai beberapa pendekatan dan strategi yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri, dalam memastikan bekalan makanan untuk rakyat Sarawak, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang jauh dan sukar, tidak akan terjejas dan makanan sentiasa mencukupi semasa PKP ini,” tegasnya.

Awang Tengah berkata golongan sasar yang dibekalkan dengan makanan asas dalam tempoh PKP akan ditentukan oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian/Daerah dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan, Pusat Khidmat ADUN, dan NGO yang relevan.

“Golongan sasar ini boleh merangkumi ketua isi rumah di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk golongan miskin bandar dan mereka yang kehilangan pendapatan kerana PKP,” ujarnya

Awang Tengah berkata untuk penghantaran makanan, kerajaan akan menggunakan semua sumber pengangkutan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bomba, bagi penghantaran makanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang jauh dan rumit seperti di Belaga, Baram, Bario, Batang Ai, Kapit, Ba’ Kelalan dan Long Semadoh.

“Tujuannya adalah untuk memastikan barang-barang bantuan yang kita akan agihkan dapat sampai ke kawasan pusat pengagihan sebelum diagihkan lagi kepada kawasan kampung,” katanya.

Beliau turut memberitahu semua pengangkutan yang membawa bekalan makanan akan dibenarkan oleh PDRM untuk membuat penghantaran ke seluruh Sarawak tanpa sekatan.

“Jawatankuasa Bencana Bahagian/Daerah juga akan mengenalpasti Pusat Pengagihan di setiap bahagian dan daerah.

“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan, Pusat Khidmat ADUN, dan NGO yang relevan, untuk memastikan pengagihan makanan diselaraskan dengan teratur dan kepatuhan kepada PKP,” ujarnya.

Beliau kemudian berkata pengagihan keperluan asas telah mula dilaksanakan di beberapa kawasan seperti Kuching, Simunjan, Limbang , Lawas dan Bukit Sari.

“Sekarang kita juga sedang mengumpul maklumat penerima, pusat pengagihan dan kuantiti bekalan keperluan asas yang diperlukan.

“Seterusnya kita akan memastikan pengagihan ini akan dilaksanakan sepenuhnya dalam masa terdekat ini. Dan saya berharap dalam masa dua atau tiga hari ini kita akan laksanakannya,” kata Awang Tengah.