Kapasiti di hospital ditingkatkan

SHEILA ZAIDI

KUCHING : Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk meningkatkan kapasiti di beberapa buah hospital bagi membolehkan ujian saringan Covid-19 dilakukan ke atas 2,000 orang sehari.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kapasiti pemeriksaan itu akan dipertingkatkan di beberapa hospital iaitu Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Sibu, Miri dan juga di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Kita berharap kapasiti ini akan berjaya ditingkatkan menjelang minggu hadapan sekali gus membolehkan kita mengenalpasti individu yang mempunyai gejala dengan lebih berkesan.

“Dengan adanya peningkatan dari segi kapasiti ini, kita juga dapat mengurangkan masa menunggu dan membolehkan lebih ramai individu menjalankan saringan,” katanya  pada sidang media di sini semalam.

Menurut Douglas, adalah penting untuk kerajaan meningkatkan kapasiti itu dalam usaha untuk mengesan dan memerangi jangkitan wabak Covid-19 yang telah meragut tujuh nyawa di negeri ini.

Oleh yang demikian, katanya, setakat ini, Sarawak belum bersedia untuk menyediakan kemudahan saringan bergerak dan hanya akan bertindak mempertingkatkan kapasiti di pusat saringan terlebih dahulu.

Berkenaan dengan pelaksanaan aktiviti nyahcemar pula, Douglas memberitahu hari ini (Selasa) kerja-kerja penyemburan akan dilakukan secara lebih banyak.

Katanya, kerajaan tempatan akan membantu mengenalpasti lokasi ‘panas’ di kawasan masing-masing supaya aktiviti nyahcemar dapat dijalankan di kawasan tersebut.

Beliau kemudiannya menggesa masyarakat untuk terus patuh kepada arahan PKP dan sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri dan keluarga.

Douglas turut meminta rakyat untuk bersabar dan terus bekerjasama untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 itu.