JPBN Sarikei akan bantu penduduk terjejas

EARL ANEK

SARIKEI: Kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada sidang media  JUmaat lalu mengklafikasikan daerah Sarikei sebagai salah satu kawasan Zon Merah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata, rekod positif Covid-19 di bawah kluster Sarikei adalah sebanyak 6 kes.

“Perlulah ditekankan di sini bahagian Sarikei mempunyai empat daerah iaitu daerah Sarikei, daerah Meradong, daerah Pakan dan daerah Julau.

“Jadi, hanya dalam daerah Sarikei sahaja yang mencatatkan 6 kes. Catatan 6 kes yang positif Covid-19 merupakan daripada satu kluster yang sama.

“Salah seorang daripada mereka dalam kluster ini telah sembuh. Kita harap keadaan ini bertambah baik dari masa ke semasa,” katanya.

Len berkata demikian pada sidang media selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei yang dipengerusikan oleh beliau, di bilik mesyuarat pejabat Residen, di sini semalam.

Tambahnya, oleh kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan, perbincangan dalam mesyuarat jawatankuasa itu juga adalah untuk mengenalpasti kawasan terjejas sepanjang tempoh PKP bagi tujuan penghantaran bantuan barangan keperluan terutama sekali rakyat di kawasan luar bandar.

“Pelanjutan tempoh PKP memang terdapat banyak keluarga dan warga kita di luar sana yang tidak mendapat bekalan makanan.

“Jawatankuasa ini telah berbincang bagaimana penghantaran bantuan barangan keperluan ini dapat dilaksanakan dan melibatkan agensi-agensi yang lain.

“Kita sudah menghantar data kepada jawatankuasa induk di Kuching mengenai jumlah mereka yang akan menerima bantuan ini nanti,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab, ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, ADUN Meluan, Roland Duat dan Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua.