Dua ditangkap langgar PKP

ADI SAFARMAN

DEBAK: Polis telah menangkap dua lelaki tempatan berumur 30 dan 18 tahun di pekan Debak semalam ketika menjalankan pemantauan dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, DSP Zamry Alli mengesahkan tangkapan tersebut dan kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Debak Laut ditahan ketika cuba melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dijalankan.

Beliau berkata, semasa di tahan kedua-dua saspek bertindak kasar dan mempertikaikan tugas polis.

Suspek juga katanya diminta memberi pengenalan diri namun kedua-duanya enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri.

“Kedua-dua saspek juga gagal memberi keterangan yang munasabah berada di luar semasa tempoh PKP ini.

“Siasatan awal mendapati, suspek dalam perjalanan daripada Kampung Lalang ke Kampung Debak Laut tanpa ada alasan dan tujuan yang mendesak.

“Saspek juga mengakui bahawa sedia maklum berkaitan arahan PKP dan SJR yang berkuatkuasa,” ujarnya pada kenyataan kepada media semalam.

Zamry memberitahu kes tersebut dirujuk di bawah Seksyen 186 KK / Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Suspek telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ini merupakan tangkapan pertama sejak PKP dikuatkuasakan di kawasan Betong.