PRIHATIN satu inisiatif berpaksikan rakyat

SHEILA ZAIDI

KUCHING : Bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Jumaat lalu merupakan satu inisiatif yang benar-benar berpaksikan rakyat.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol berkata golongan berpendapatan rendah dilihat sangat terjejas ketika ini dan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

“Tindakan Kerajaan Persekutuan yang mengumumkan bantuan ini adalah bertepatan dengan masa walaupun mungkin terpaksa membelanjakan peruntukan yang besar daripada kewangan persekutuan.

“Namun, dalam waktu yang mendesak ini, kerajaan dilihat mengutamakan kebajikan rakyat kerana faham situasi rakyat yang sangat memerlukan sokongan dan bantuan ketika negara dilanda wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Abdullah, pakej bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri ini ternyata satu inisiatif yang berpaksikan rakyat.

Tambahnya, usaha yang mulia ini tidak harus diperdebat atau dipolitikkan kerana sangat jelas bahawa rakyat yang berpendapatan rendah terjejas selepas terutamanya selepas pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh yang demikian, beliau menyeru kepada masyarakat untuk terus memberikan kerjasama dan berhenti mencari kesalahan mana-mana pihak.

“Kita gembira apabila dimaklumkan bahawa beberapa syarikat korporat telah memainkan peranan mereka dengan memberi sumbangan kewangan dan saya harap banyak lagi  syarikat yang akan tampil membantu.

“Saya juga berharap supaya mekanisme untuk pengagihan bantuan yang telah diumumkan akan diurus dengan berkesan dan tindakan dapat diambil dengan kadar yang segera,” ujarnya.

Katanya lagi, rakyat juga perlu bekerjasama dengan mematuhi sepenuhnya semua arahan atau perintah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya berwaspada terhadap golongan tidak bertanggungjawab yang mempunyai tabiat mereka-reka atau menyampaikan maklumat palsu yang tidak disahkan.

Platform media sosial katanya, mesti digunakan untuk menyebar maklumat kesedaran yang boleh dipercayai, kata-kata dorongan, sokongan moral dan motivasi.