Keuntungan bersih turun kepada RM76.77 juta

SEGMEN hartanah terus disokong oleh jualan dan kemajuan pengebilan daripada empat projek yang sedang berjalan seperti Ryan & Miho di Selangor dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.95 bilion.

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih OSK Holdings Bhd turun kepada RM76.77 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2020 daripada RM91.35 juta pada suku yang sama tahun lepas, ia disebabkan perniagaannya terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata perolehannya juga merosot tiga peratus kepada RM255.73 juta daripada RM263.87 juta sebelumnya.

“PKP dilaksanakan sejak 18 Mac telah menghasilkan perolehan sifar atau minimum daripada semua segmen untuk tempoh dari 18 Mac hingga 31 Mac,” katanya.

OSK berkata, segmen hartanah, pembinaan, industri dan perhotelan serta bahagian pegangan pelaburannya mencatat prestasi yang lebih rendah kecuali bahagian pembiayaan modal.

Bahagian ini mencatatkan perolehan sebanyak RM23.97 juta, meningkat 51 peratus daripada RM15.88 juta sebelumnya, sejajar dengan pertumbuhan portfolio pembiayaannya.

Mengenai unjuran separuh kedua tahun ini, kumpulan itu berkata segmen hartanahnya akan terus disokong oleh jualan dan kemajuan pengebilan daripada empat projek yang sedang berjalan seperti Ryan & Miho di Selangor dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.95 bilion .

“Bahagian ini mensasarkan untuk melancarkan dua projek dengan gabungan GDV sebanyak RM166.5 juta pada tahun kewangan semasa,” katanya.

Sehingga 31 Mac 2020, kumpulan ini mempunyai jualan belum dijelaskan berjumlah RM1.53 bilion dan simpanan tanah seluas 589 hektar dengan anggaran GDV sebanyak RM10.33 bilion di Malaysia dan Melbourne, Australia.

“Dengan baki simpanan tanah yang seimbang di pelbagai lokasi dan dua pembangunan perbandaran di Semenanjung Malaysia dan pembangunan bersepadu di Australia, bahagian ini akan kekal menjadi penyumbang utama kepada prestasi kumpulan itu,” kata OSK. – Bernama