Kerajaan Sarawak bersama rakyat

DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang mengucap selamat menyambut Hari Gawai Dayak.

DIYANA SAMSUDDIN

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak yang faham dengan keadaan terpaksa dihadapi oleh rakyat daripada segi bekalan makanan dan pekerjaan disebabkan perintah kawalan pergerakaan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19 tetap bersama-sama rakyat.

Sambil mengakui wabak Covid-19 memberi tamparan yang amat hebat kepada masyarakat dan kerajaan di seluruh dunia, beliau berkata, Kerajaan Sarawak tetap bersama-sama rakyat dalam menghadapi tempoh yang sukar itu.

“Saya tahu ramai yang bekerja dengan gaji harian yang terpksa balik ke kampung atau rumah panjang kerana gaji tidak dibayar oleh majikan dalam tempoh PKP dan ada yang mungkin terus hilang pekerjaan,” katanya lagi.

Kerajaan Sarawak yang prihatin, katanya, membelanjakan sebanyak RM16.4 juta untuk menyediakan bekalan makanan kepada setengah juta rakyat Sarawak.

Katanya, laluan udara, sungai dan darat telah digunakan untuk menghantar bekalan makanan asas ke seluruh pelosok negeri Sarawak manakala bagi yang jauh di pedalaman, pesawat helikopter tentera dan Bomba telah dikerahkan, di hulu sungai dan kawasan pesisir pantai perahu digunakan dan mana-mana penempatan yang boleh didatangi oleh jalan raya lori atau kereta digunakan.

Selain itu, Kerajaan Sarawak juga telah berusaha untuk mempastikan bekalan makanan sentiasa ada dan mencukupi di seluruh negeri, katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

“Kerajaan Sarawak adalah satu-satunya Kerajaan Negeri yang menyediakan bantuan kepada rakyatnya selain daripada bantuan Kerajaan Persekutuan.

“Saya amat berharap saudara, saudari, ketua isi rumah, para penjaja dan pemilik industri kecil dan sederhana yang layak sudah menerima atau sudah memohon bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Ketua Menteri mengulangi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 meliputi: Pembayaran tunai kepada golongan B40 termasuk golongan bujang berumur 21 tahun ke atas berpendapatan RM2,000 sebulan dan ke bawah; Penangguhan pembayaran pinjaman dan pinjaman mudah tanpa faedah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS); Pengecualian untuk bayaran lesen perniagaan serta diskaun sewa gerai untuk para peniaga; Bayaran insentif bulanan untuk anggota barisan hadapan yang terlibat untuk menangani wabak Covid-19; dan Bayaran insentif kepada golongan yang hilang pendapatan akibat Covid-19.

 “Saya berharap pelbagai jenis bantuan tunai dan bukan tunai ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada rakyat yang telah hilang punca pendapatan selama PKP dan PKPB dilaksanakan,” katanya.