Patuhi SOP sambut Gawai

HENRY Kanyan Vincent Rawing

NURZILLA MOHAMAD

SIBU: Masyarakat Dayak digesa supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan semasa menyambut Gawai pada 1 Jun ini.

Exco Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Henry Kanyan Vincent Rawing berkata, pematuhan itu sangat penting bagi mengekang pandemik Covid-19 di Sarawak.

Menurutnya, tidak kira mereka yang tinggal di bandar mahupun rumah panjang, SOP perayaan Gawai Dayak harus dipatuhi demi mengelakkan wujud kluster Covid-19 selepas Gawai.

“Demi keselamatan ahli keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan, kita terpaksa mengurangkan aktiviti perayaan Gawai yang selalu kita lakukan.

“Kita harus sentiasa berjaga-jaga termasuk mengutamakan kebersihan, pakai penutup mulut dan hidung, amalkan penjarakan sosial, jangan berkumpul terlalu ramai dan jangan amalkan lagi amalan berkongsi gelas ketika minum menyambut ketibaan tetamu ‘masu kaki’” jelasnya.

Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) itu mengakui, sambutan Gawai Dayak tahun ini agak berbeza namun upacara tradisi ‘Miring’ dan sembahyang menjelang Gawai bagi mereka yang beragama Kristian masih lagi dilakukan.

“Di Sarawak, kerajaan tidak membenarkan perjalanan merentas daerah. Justeru, bagi meluangkan perasaan rindu terhadap keluarga, sanak saudara dan sahabat handai gunakanlah kecanggihan teknologi masa kini untuk berkomunikasi.

“Tak dapat pulang Gawai tahun ini tidak apa, kita korbankan seketika perasaan itu demi keselamatan dan kesihatan semua. Bersamalah kita memutuskan rantaian Covid-19 supaya ia lenyap dari muka bumi ini,” ujarnya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan aktiviti ziarah Hari Gawai hanya sehari sahaja iaitu pada 1 Jun.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan itu.

SOP berkenaan mengehadkan kapasiti kehadiran adalah hanya untuk ahli kelurga terdekat dengan jumlah tidak melebihi 20 orang dan perjalanan merentas daerah untuk balik Hari Gawai adalah tidak dibenarkan.