Semangat Gawai ketika PKPB

SESAK… Jalan Channel yang sesak dengan kenderaan.

AKUN GIMAN

SIBU. :  Meskipun sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini diraikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun semangat ‘Agik Idup Agik Ngelaban’ tetap memberi semangat untuk masyarakat Dayak menyambutnya dengan penuh rasa kesyukuran.

Tinjauan Utusan Sarawak semalam mendapati masyarakat Dayak tempatan keluar untuk membeli keperluan seperti kuih-muih, air minuman dan beberapa bahan makanan bagi menyambut perayaan yang begitu bermakna buat mereka.

Walaupun tahun ini tidak dapat mengadakan aktiviti ‘ngabang’, namun meraikan Gawai Dayak di rumah panjang masing-masing atau di rumah persendirian bersama keluarga sudah cukup bermakna.

Di Pasar Sentral Sibu pula mendapati begitu ramai masyarakat Iban yang membeli barangan keperluan Gawai Dayak.

Kebanyakan mereka membeli buluh untuk masakan ayam pansuh yang cukup terkenal d ikalangan masyarakat Iban.

Tidak lengkap rasanya tanpa adanya ayam pansuh di musim Gawai Dayak.

Sementara itu, Jalan Channel turut sesak dengan kenderaan yang menghala ke pusat bandar.

Bagaimanapun, kehadiran pihak polis dan pihak unit penguatkuasaan dari Majlis Perbandaran Sibu memastikan tiada pemandu yang cuba berhenti di bahu jalan di sepanjang Jalan Channel.