Projek Tebingan Pekan Dalat diteruskan

CANTIKā€¦ Pemandangan Tebingan Sungai Fasa 2 yang sedang dalam pembinaan di Dalat.

DALAT: Kerja pembinaan projek Tebingan Fasa 2 Pekan Dalat yang ditangguhkan semasa Perintah Kawalan Pergerakaan (PKP) kini disambung semula.

Tebingan Pekan Dalat adalah tempat beriadah dan sentiasa menjadi tumpuan masyarakat setempat disebabkan kecantikan dan keunikannya.

Tinjauan Utusan Sarawak ke tapak itu Jumaat lepas mendapati beberapa pekerja kelihatan menjalankan tugasan mereka seperti biasa.

Tebingan itu sentiasa menjadi perhatian orang ramai kerana lokasinya yang sangat strategik dan terletak di hadapan Pekan Dalat.

Justeru, kewujudan struktur yang memanjang di Tebingan Batang Oya itu telah menyerlahkan lagi keindahan di sekitarnya.

Projek yang diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika beliau memegang portfolio sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mula dilaksanakan pada Jun 2018.

Bernilai RM4.1 juta, ia adalah untuk mengindahkan kawasan tebingan sungai yang melibatkan struktur benteng, pembinaan menara pemerhati tiga tingkat, bentuk atap yang menyerupai pokok rumbia, jubin yang direka khas, panel yang menggambarkan sejarah Regata Dalat dan sebagainya yang berkaitan dengan daerah itu.