PDRM Sibu laksana proses sanitasi, nyahcemar

NURZILLA MOHAMAD

SIBU: Susulan peningkatan kes COVID-19, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan proses sanitasi dan nyahcemar di tiga buah balainya di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata,

kesemua balai yang mempunyai bilik lokap iaitu Balai Polis Sentral, Balai Polis Sungai Merah dan Balai Polis Sibu Jaya menjalani proses tersebut.

“Langkah ini bertujuan memastikan semua petugas serta orang awam yang berurusan di balai polis di sini dilindungi dari penularan wabak maut tersebut.

“Selain itu, langkah ini diambil kerana bimbang jika ada di kalangan orang ramai yang tidak menyedari diri mereka sudah tercemar dengan wabak datang berurusan di balai-balai polis di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Stanley, turut menjalani proses semburan nyahcemar ialah di bangunan Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

“Kerja-kerja penyemburan nyahkuman ini dilaksanakan sendiri oleh anggota polis di balai-balai berkenaan,” ujarnya.