PPB catat keuntungan bersih RM187.3 juta

PPB Group Bhd, antara pengilang terbesar tepung di Malaysia.

KUALA LUMPUR: PPB Group Bhd, antara pengilang terbesar tepung di Malaysia, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM187.27 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2020, turun kira-kira 25 peratus daripada RM248.45 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, sumbangan keuntungan sebelum cukai daripada syarikat bersekutu yang disenaraikan di Bursa Singapura Wilmar International Ltd, penyumbang terbesar kepada pendapatannya, turun 14 peratus kepada RM165 juta.

Perolehan Kumpulan PPB juga berkurangan hampir lapan peratus kepada RM1.07 bilion daripada RM1.16 bilion sebelumnya.

Ia berkata, perolehan yang lebih rendah dengan sumbangan yang lebih rendah daripada bijirin dan perniagaan agronya, produk pengguna, pameran dan pengedaran filem (melalui Golden Screen Cinemas) dan segmen kejuruteraan alam sekitar dan utiliti, manakala pendapatan segmen hartanahnya kekal tidak berubah.

PPB Group berkata, dalam persekitaran operasi yang mencabar yang akan mempengaruhi pameran filem dan pengedaran, serta perniagaan hartanah, segmen utama kumpulan ini dijangka dapat mencatatkan prestasi yang memuaskan.

Ia berkata, prestasi syarikat bersekutunya, Wilmar, merupakan salah satu penggiat perniagaan pertanian terkemuka di Asia dengan lebih daripada 500 kilang pembuatan, akan terus memberikan sumbangan besar kepada keuntungan keseluruhan kumpulan.

PBB mempunyai pegangan sebanyak 18.5 peratus dalam Wilmar.

Wilmar menyumbang sekitar 75 peratus kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2019. – Bernama