Ibadah korban perlu patuhi SOP

DATUK DR ABDUL RAHMAN JUNAIDI

KUCHING:Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi mengingatkan bahawa penganjuran ibadah korban pada tahun ini perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan Majlis Islam Sarawak (MIS).

Beliau berkata, antara garis panduan perlu dipatuhi adalah masjid dan surau yang berhasrat untuk menjalankan ibadah berkenaan hendaklah mewujudkan jawatankuasa pengelola dan berdaftar dengan Pejabat Agama Islam Bahagian.

“Masjid dan surau yang akan menjalankan ibadah ini perlu mendapat permit penyembelihan ternakan daripada Pejabat Veterinar Negeri atau mana-mana Pejabat Veterinar Daerah,” jelasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau menambah pembekal binatang korban hendaklah memperolehi sijil kesihatan veterinar daripada Pejabat Veterinar Negeri atau mana-mana Pejabat Veterinar Daerah.

“Jumlah individu yang dibenarkan adalah seperti berikut iaitu bagi penyembelihan hanya 10 individu dibenarkan, melapah (20 individu), pemotongan, penimbangan dan bungkusan (10 individu) manakala peserta dan penerima (maksima 20 orang).

“Mana-mana individu yang disahkan Covid-19 atau baru sembuh dengan notis kuarantin atau mempunyai gejala adalah dilarang hadir,” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa tapak penyembelihan mestilah sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam iaitu parit dan longkang dan dibenarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Oleh Alexandra Lorna