Majlis akad nikah dibenarkan di masjid, surau

KUCHING: Jika sebelum ini majlis akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Agama Islam Bahagian dan Daerah, kini kebenaran telah diberikan untuk melangsungkan upacara ini di masjid atau surau terpilih.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi (gambar) berkata, bagaimanapun beberapa garis panduan perlu dipatuhi termasuk hanya dijalankan di masjid atau surau yang diluluskan JAIS.

“Antara lain ialah maksimum kehadiran ialah 20 orang termasuk pasangan pengantin, jurunikah dan saksi serta akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar dan Penolong Pendaftar NCR.

“Garis panduan lain termasuklah tiada upacara lain seperti membatalkan air sembahyang dan memasang cincin dan had masa majlis akad nikah hendaklah tidak melebihi 20 minit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, majlis hendaklah dibatalkan sekiranya ada dikalangan individu yang mengalami simptom dan disahkan positif Covid-19.