FAS laksana ujian swab

PRESIDEN FAS…Dato Posa Majais.

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) mungkin akan melaksanakan ujian swab terhadap pemain, jurulatih dan juga pegawai dari skuad Sarawak United FC (SUFC) minggu hadapan.

Presiden FAS, Dato Posa Majais menjelaskan, pihaknya masih menunggu pemain lain terutamanya mereka yang dari Semenanjung tiba di Kuching sebelum dapat melaksanakan ujian berkenaan.

“Kebanyakan pemain masih belum tiba lagi di Kuching dan sebab itu kita belum dapat menetapkan tarikhnya.

“Apa pun, besar kemungkinan ia akan dilaksanakan minggu depan,” ujar Dato Posa sambil belum dapat memberi ketetapan tarikh berkenaan.

Jelas beliau lagi, ujian swab wajib dilaksanakan oleh semua pasukan yang masih terlibat dalam saingan Liga Malaysia 2020 seperti yang diarahkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Ujian ini wajib dilaksanakan kerana ia adalah arahan MFL kepada semua pasukan yang masih lagi beraksi dalam kancah Liga Malaysia 2020.

“Pelaksanaannya antara salah satu syarat bagi pasukan memperolehi kebenaran meneruskan semula latihan seperti biasa,” tambahnya.

Sebelum ini, setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM11,000 bagi ujian calitan (swab test) yang wajib dilakukan sebagai prosedur operasi standard (SOP) untuk kembali berlatih.

Antara kos paling murah bagi ujian terbabit di hospital swasta adalah RM360 dan mengambil kira sekurang kurangnya 30 orang dalam setiap pasukan termasuk pemain dan barisan kejurulatihan perlu melakukan ujian terbabit, kos dianggarkan sekitar RM10,800.

Justeru, setiap pasukan perlu juga melakukan ujian terbabit memandangkan ia adalah langkah terawal yang perlu dilakukan setiap pasukan dan keputusan hendaklah diserahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas disahkan doktor pasukan selain beberapa lagi peraturan lain yang ditetapkan.

Bagaimanapun, SOP yang diperkenalkan itu tidak dianggap melecehkan dengan pasukan Liga M bersedia mematuhi segala peraturan yang sudah ditetapkan oleh badan pengendali liga itu.

Oleh Faizal Bujang