Fokus pembangunan kawasan DBKU

KUCHING: Kerajaan Sarawak fokus kepada pembangunan di kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam tempoh lima tahun dan akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan yang dirancangkan itu akan merangkumi kawasan sehingga ke Bako, Buntal, Sungai Salak dan Santubong.

“Yang pertama kita sedang bangunkan ialah Darul Hana untuk keluarg asal yang memang tinggal di kawasan perkampungan tradisi di seberang sungai dan menjadi perkampungan Melayu moden,” katanya pada majlis Perjumpaan Khas Ketua Menteri Bersama Kejiranan Mesra (KJM) DBKU di salah sebuah hotel di sini, semalam.

“Tetapi masyarakat kita sudah berkembang, ada yang anak-anak mereka sudah berkahwin, maka bagi keluarga lanjutan ini kita akan bangunkan penempatan kediaman di tempat lain antaranya di kawasan Sungai Bedaun dan belakang Kampung Buntal termasuk untuk masyarakat di Sungai Salak.

“Sambil itu, kita juga akan bangunkan kampung tradisi di kawasan Sejingkat. Kita sudah ada pelan induk termasuk membangunkan jambatan yang akan menghubungkan Tanjung Bako, Samarahan terus ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan juga jalan ke Santubong,” katanya dan menambah semua projek itu akan dilaksanakan dalam RMK-12.

Menurutnya, ini adalah salah satu cara Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membantu rakyat dan membangunkan penempatan baharu untuk keluarga lanjutan mendapatkan rumah pada harga berpatutan.

“Selain itu, infrastruktur seperti menimbus tanah, pembinaan jalan dan penyambungan elektrik akan ditanggung oleh GPS, rakyat hanya membeli rumah yang mempunyai tiga bilik, dua bilik mandi dan bertiang.

“Bagi masyarakat yang tinggal di tebing sungai, kita akan naik taraf kawasan termasuk membangunkan tebingan sungai sehingga ke Medan Niaga Satok di bawah RMK-12, serta kita juga sedang membina benteng di Kampung Lintang hingga Kampung Tanjung,” jelasnya.

Abang Johari berkata, semua projek tersebut adalah perancangan beliau dan pasti akan dilaksanakan jika masih memegang jawatan Ketua Menteri serta GPS masih memerintah Sarawak.

“Terserah kepada rakyat, sama ada mahu bandaraya Kuching dinaik taraf, kerana apabila sampai masanya nanti (pilihan raya negeri), saya akan menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk memilih pemerintah negeri.

Turut hadir Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali  dan Datuk Bandar DBKU, Datu Junaidi Reduan.