Pusat Penjaja Jubli Perak, Lundu siap 9 bulan lagi

KENANGAN… Datuk Amar Jamilah Anu merakam kenangan bersama delegasinya pada lawatan kerja melawat tapak projek di Pusat Penjaja Jubli Perak di Pekan Lundu, kelmarin.

LUNDU: Pekan Lundu bakal menyaksikan perubahan besar dari segi infrastuktur apabila projek menaik taraf Pusat Penjaja Jubli Perak di Pekan Lundu yang menelan kos RM1.5 juta bakal siap sepenuhnya dalam tempoh sembilan bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata pusat penjaja tersebut sudah  berusia hampir 30 tahun dan kerja menaik taraf adalah melalui agensi pelaksana Majlis Daerah Lundu.

“Projek ini nanti akan menyumbang kepada pembangunan di Pekan Lundu dan membantu para usahawan yang sebelum ini berniaga di sini untuk menikmati fasiliti dan kemudahan perniagaan yang lebih baik di masa akan datang.

“Ia merupakan projek yang diilhamkan oleh Allahyarham Tok Nan untuk dilaksanakan dan saya teruskan untuk masyarakat Cina di Pekan Lundu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja melawat tapak projek di Pusat Penjaja Jubli Perak di Pekan Lundu, kelmarin.

Tambahnya, di samping itu rumah kedai di sekitar Town Squaer Lundu turut bakal menerima perubahan baharu.

Dalam perkembangan sama, Jamilah turut menyampaikan sumbangan sejumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Lundu melalui Kapitan Tang Kheng Ang.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk mengecat dan mencantikkan persekitan rumah kedai sebagai tarikan pelancong ke Lundu selari dengan visi Majlis Daerah Lundu, Ke Arah Menjadikan Lundu Bandar Pantai Semulajadi.

Turut hadir Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Brahim,  Pemanca Benjamin Gersit Jais, Penghulu Chin Kian Ming dan Kapitan-kapitan Tanjong Datu.