DBKU wujud platform teknologi

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) disarankan untuk mewujudkan platform berasaskan teknologi bagi mengeratkan hubungan DBKU dengan masyarakat di bawah pentadbirannya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya adalah mewujudkan platform khusus untuk masyarakat di DBKU menyalurkan permasalahan yang dihadapi bagi tindakan segera diambil.

“Bermakna, ia menggunakan teknologi seperti laman sesawang khusus untuk kegunaan masyarakat di kawasan DBKU, dan platform khas ini menghubungkan terus kepada pengurusan DBKU untuk tindakan serta-merta dan penyelesaian kepada mereka yang terkesan.

“Ini adalah cara baharu supaya masyarakat dapat menghantar maklumat kepada pihak pengurusan dan sudah tentu DBKU dapat menyelesaikan masalah di kawasan-kawasan yang bermasalah dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua Menteri Bersama Kejiranan Mesra (KJM) DBKU di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Tambahnya, manakala dari sudut keselamatan, kerajaan menerusi DBKU akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat yang berisiko.

“Ini adalah antara kemudahan yang kita akan laksanakan untuk DBKU, dan dari segi perbelanjaan ia memang akan menelan kos besar, tetapi GPS akan menguruskan perolehan dana itu,” jelasnya.

Mengulas mengenai Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Abang Johari berkata ia adalah pendekatan untuk mempertahankan budaya serta tradisi lama yang ada di Kuching dan untuk dikongsi bersama pelawat yang datang ke bandar raya ini.

“Kita turut membangunkan songket dan keringkam sebagai tradisi orang tempatan, begitu juga dengan budaya masyarakat Cina di Kuching khususnya di Jalan Carpenter, Main Bazaar dan Jalan Padungan untuk mereka mempamerkan budaya tersendiri.

“Di Kuching, di bawah MBKS dan DBKU, kita mempunyai khazanah yang begitu besar nilainya dan ia harus dipertahankan sebagai satu landasan mempertahankan perpaduan antara kaum dan agama berlainan di negeri ini,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dalam ucapannya berkata jawatankuasa OKSHE yang ditubuhkan tahun lalu adalah perkara baharu yang dicetuskan oleh Abang Johari.

“Sekarang ini, OKSHE akan bekerjsama dengan DBKU untuk membangunkan sebahagian daripada kawsan di bawah pentadbirannya terutamanya dari aspek warisan, kebudayaan, kampung dan sejarah lama.

“Ini akan kita kembangkan, kerana kita mahu mengekalkannya seiring dengan pembangunan bandaraya Kuching.

“Dengan erti kata lain, apabila bandar Kuching membangun, masyarakat yang tinggal di DBKU turut sama membangun, namun pada masa yang sama masih mengekalkan warisan dan budaya lama supaya dapat diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya.

Terdahulu, perjumpaan tersebut dihadiri kira-kira 300 wakil daripada 50 KJM di kawasan DBKU, dan inisiatif tersebut telah bermula sejak tahun 2001 bertujuan untuk memupuk kasih sayang dan sikap tanggungjawab serta mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat. Turut hadir, Menteri  Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali  dan Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan.