181 orang tiba semalam dikuarantin

KUCHING : Semua rakyat Sarawak yang datang dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan ditempatkan di pusat kuarantin di lokasi mereka tiba bermula Ahad lalu.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, mereka yang ditempatkan di pusat kuarantin tersebut juga dikategorikan sebagai Orang di Bawah Pengawasan (PUS).

“Seramai 181 orang yang tiba dari luar Sarawak telah ditempatkan di beberapa pusat kuarantin.

“Di Kuching, seramai 87 orang ditempatkan di Hotel Hock Lee sementara di Miri, 68 orang ditempatkan di Hotel Mega dan 26 orang lagi di Hotel Sommerset,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, buat masa ini, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu telah dibatalkan kerana masih belum ada penempatan yang sesuai untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin di sana.

Beliau turut menyangkal maklumat berhubung lokasi serta jumlah individu yang dikuarantin di sekitar bandar Kuching yang tular di Whatsapp semalam.

Katanya, maklumat yang disebarkan itu adalah tidak sahih dan menasihati orang ramai supaya tidak terus percaya dengan berita yang ditular melalui media sosial.

Berita-berita seperti ini boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat dan perlu dielakkan, katanya dan menambah, orang ramai harus memastikan kesahihan sesuatu berita itu sebelum dipanjangkan kepada orang lain.

Sementara itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak turun padang untuk melakukan kerja sanitasi awam pada bas yang membawa 91 anak Sarawak yang tiba dari Kuala Lumpur semalam.

Menurut jurucakap JPBM Sarawak, kesemua mereka yang terdiri daripada 55 orang lelaki dewasa, 34 perempuan dewasa dan dua orang kanak-kanak lelaki dikuarantin di Hotel Dormani Rajah Court untuk tempoh 14 hari.

Ahad lalu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas melalui sebuah portal tempatan dipetik berkata, kerajaan negeri menyediakan beberapa buah hotel di seluruh negeri sebagai pusat kuarantin untuk menampung keperluan anak Sarawak yang datang dari luar negara, Semananjung, Sabah dan Labuan.

Lapan buah bas disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) untuk membawa penumpang daripada sebuah pesawat yang tiba dari Kuala Lumpur ke pusat kuarantin.

Pesawat tersebut membawa kumpulan pertama anak Sarawak seramai 77 orang termasuk seorang bayi.