Ulang kaji pelajaran di ruai

NIAH: Cuti persekolahan yang dilanjutkan susulan pelanjutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan satu tempoh yang panjang.

Pelanjutan cuti sekolah itu penting dan tidak boleh dipandang ringan. Ini satu usaha dalam menjaga keselamatan anak-anak di sekolah rendah daripada terjangkit wabak Covid-19 yang bahaya.

Tuai Rumah (TR) Ayai Sawing dari Zon Saeh ketika dihubungi semalam berkata, anak-anak rumah panjang telah lama tidak ke sekolah dan mendatangkan kebimbangan tentang pembelajaran mereka.

Katanya, oleh kerana pentingnya pembelajaran beliau menggalakkan mereka (anak-anak) mengadakan ulang kaji di ‘ruai’ rumah panjang.

“Kemasukan semula ke sekolah masih belum pasti lagi ekoran arahan PKP yang masih berterusan sehingga 14 April depan.

“Jika dilanjutkan PKP selepas 14 April nanti, maka semakin panjang cuti persekolahan, sekali  gus membimbangkan ibu bapa tentang pembelajaran anak mereka,” jelasnya.

Apa yang penting penduduk rumah panjang Zon Saeh harus bekerjasama mematuhi arahan PKP dalam menghapuskan rangkaian wabak Covid-19, tambahnya.

Sehubungan itu, ulang kaji yang dibuat oleh anak-anak rumah panjang di sini sentiasa dikawal oleh ibu bapa dan tenaga pengajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Saeh, jelasnya.