Rakyat Sarikei diseru terus patuhi PKP

SARIKEI: Rakyat di Sarikei diseru agar mematuhi sepenuhnya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, PKP bertujuan untuk mengelakkan rakyat dijangkiti Covid-19 dan mengekang penularan wabak pandemik tersebut.

“Kerajaan melaksanakan PKP demi keselamatan dan kesihatan rakyat. Oleh itu, masyarakat haruslah menjaga jarak dalam interaksi sosial supaya mengurangkan risiko dijangkiti wabak Covid-19,” katanya.

Tambahnya, rakyat juga mesti memahami kesukaran kakitangan barisan hadapan seperti doktor, jururawat, kakitangan perubatan, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka telah bekerja keras untuk menangani wabak Covid-19 dan risiko mereka dijangkiti adalah sangat tinggi.

“Oleh itu, rakyat mesti bekerjasama dengan cara mematuhi arahan PKP bagi mengelakkan lebih ramai dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, Huang menerusi Pusat Khidmat Repok sentiasa menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk-penduduk dikawasannya yang terjejas.

Pasukan Pusat Khidmat Repok mengedarkan bantuan makanan di kawasan Selangan, Bulat, Stok, Rusa, rumah panjang, luar bandar dan kawasan bandar kepada golongan yang memerlukan supaya membantu rakyat mengurangkan kesan Covid-19. Kerja-kerja pengedaran bantuan makanan ini dijalankan secara berterusan dan berperingkat sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.