Rezeki berganda saat PKP

AWANG KUSHAIRY JUNAIDI

KUALA LAWAS: “Syukur Alhamdulilah, inilah rezeki kami, bertembung dengan musim dan hasil tangkapan yang banyak untuk keperluan penduduk di saat ini,” luahan seorang nelayan, Ahmad Dullah, yang ditemui semasa pulang dari memukat udang, di sini, pagi semalam.

Menurutnya, dia dan puluhan lagi nelayan lain amat bersyukur dan menarik nafas lega atas pemberian berganda yang dikurniakan kepada mereka.

Katanya, hasil tangkapan yang banyak dalam masa yang singkat, membolehkan mereka pulang lebih awal untuk terus dijual kepada penduduk.

Ahmad berkata, ada dalam kalangan mereka keluar ke laut seawal jam 6.00 pagi, dan apabila rezeki tangkapan melimpah, ia satu berita gembira buat mereka.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, mereka (nelayan), adalah dibenarkan untuk meneruskan kerja harian untuk keperluan rakyat, termasuk petani dan penternak.

“Hasil tangkapan yang banyak ini menyumbang pendapatan lebih untuk kami untuk membeli segala keperluan bekalan makanan ketika PKP”, katanya.

Sebelum ini, ramai dalam kalangan penduduk berasa bimbang jika tidak mendapat bekalan ikan serta hidupan laut yang lain untuk dimakan.

Namun, itu tidak berpanjangan kerana nelayan perlu keluar mencari hasil untuk keperluan penduduk.

Nelayan adalah antara yang masih dibenarkan untuk menjalankan aktiviti, agar bekalan makanan untuk rakyat terus terpelihara.

Selain itu, penangkap ketam, Fadzli Julihi, juga melahirkan rasa syukur kerana hasil tangkapan ketam nipah yang banyak.

“Setiap hari kami memasang perangkap ketam dalam apa juga keadaan cuaca dan amat bersyukur kerana hasil perolehan amat menggembirakan kami,” katanya ketika ditemui petang kelmarin.

Fadzli berkata, walaupun sekarang tempoh PKP, rezeki pendapatan yang diterimanya berganda kerana semakin banyak penduduk yang mahukan bekalan ketam untuk santapan.