ADAP 4orty Global sumbang PPE

BINTULU: ADAP 4orty Global Sdn Bhd akan menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital, Poliklinik dan Pusat Kuarantin di Bintulu bagi kegunaan barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

Jurucakapnya, Francis Ngu Hown Hua berkata, buat kali ketiga pihaknya telah tampil menyumbangkan peralatan ke hospital dan Poliklinik di Bintulu, namun pada hari semalam sekali lagi memberi sumbangan keseluruhan tersebut merangkumi sebanyak 11,000 pasang sarung tangan, 688 sut pelindung diri, 200 pasang kasut pelindung diri dan 40 kotak penutup hidung dan mulut.

Selain itu, ADAP 4orty Global Sdn Bhd turut menyumbangkan peralatan elektrik seperti kipas angin, peti sejuk, peralatan mandian, mesin penyembur dan banyak lagi.

“Sumbangan ini merupakan kali ketiga telah dilakukan, dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini diambil selaras dengan komitmen ADAP 4orty Global Sdn Bhd untuk mempromosikan kepentingan menjaga kebersihan udara dan membantu pesakit yang dijangkiti pandemik ini serta petugas barisan hadapan kesihatan.

“Pihak kami menyedari keperluan mengambil tindakan segera dalam membantu negara yang berdepan saat kritikal. Oleh itu, kami tampil membantu menyumbangkan peralatan perlindungan diri kepada Hospital, Poliklinik dan Pusat Kuarantin di sekitar Bintulu yang kini dilihat semakin memerlukan,” katanya.

Francis berharap dengan sumbangan kelengkapan ini, ia sekali gus dapat membantu serba sedikit kerja-kerja merawat pesakit di hospital serta di Pusat Kuarantin yang telah disediakan.

Dalam pada itu, ADAP 4orty Global Sdn Bhd kata Francis akan turut menyumbangkan peralatan perlindungan diri terbabit kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.

“Pihak kami juga turut menyumbangkan kelengkapan peralatan perlindungan diri kepada HUS. Jika tiada apa-apa halangan pihak kami akan mengirimkan semua sumbangan kelengkapan tersebut pada hari ini ke Kuching,” ujar beliau. Menurut beliau, pihaknya bersedia menyalurkan bantuan lain sekiranya diperlukan dan menyarankan pihak hospital untuk terus berhubung bagi mendapatkan bantuan.