YNJ sumbang penutup mulut dan hidung

KOTA KINABALU: Yayasan Nur Jauhar (YNJ) semalam menyumbang lebih 300,000 penutup mulut dan hidung kepada petugas barisan depan di Sabah sebagai usaha memastikan keperluan itu mencukupi untuk kegunaan mereka yang berkhidmat membendung penularan COVID-19 di negeri ini.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selaku Penaung YNJ menyampaikan sumbangan itu dengan diiringi isterinya Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang juga penasihat yayasan berkenaan pada satu majlis ringkas yang diadakan di Istana Negeri, di sini.

Bekalan penutup mulut dan hidung itu antara lain disumbangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Kontinjen Sabah, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penerangan Sabah dan RTM Sabah.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata penutup mulut dan hidung adalah antara peralatan perlindungan yang sememangnya diperlukan oleh petugas barisan depan JKNS.

“Sumbangan ini akan dapat membantu JKNS mendapat bekalan peralatan kesihatan seperti penutup mulut dan hidung untuk kegunaan petugas barisan depan,” katanya, yang turut menerima 1,000 unit peralatan perlindungan diri (PPE) daripada YNJ.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan YNJ memberi sumbangan penutup mulut dan hidung kepada anggota polis yang bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ucapan penghargaan turut dilahirkan oleh Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, yang berkata sumbangan itu akan memberi suntikan semangat kepada anggotanya untuk menjalankan tugas sepanjang PKP dengan penuh dedikasi.– Bernama