Gabenor Madinah kaji langkah lindungi jemaah haji

RIYADH: Gabenor Madinah, Putera Faisal Salman mengkaji langkah pencegahan untuk melindungi para jemaah ketika musim haji akan datang.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan Putera Faisal turut menekankan kepentingan tentang memperkasakan langkah untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Haji di Madinah semalam.

Putera Faisal menegaskan tentang keperluan untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan dan memberi kerjasama dengan kesemua pihak yang berkhidmat di Masjid Nabawi di Madinah.

Difahamkan, mesyuarat itu turut membincangkan tentang perkembangan kesihatan di wilayah itu dan program dilaksanakan agensi kerajaan serta persediaan pusat kawalan dan perintah untuk mengikuti kesemua prosedur bagi mencegah penularan virus tersebut.

Selain itu, ia turut memberi tumpuan kepada pasukan yang melakukan pemeriksaan di lapangan terbang dan lintasan sempadan untuk melaksanakan garis panduan kesihatan dikeluarkan pihak berkuasa.

Putera Faisal turut diberikan taklimat tentang langkah pencegahan yang telah disediakan untuk memberi perlindungan maksimum dan keselamatan kepada para jemaah.

Pada 27 Februari lalu, Riyadh bertindak menggantung sementara visa umrah dan turut melakukan nyah jangkit di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi serta masjid lain di seluruh negara. – AFP