61 kes, nilai rampasan sebanyak RM63,174 setakat 8 April

EARL ANEK

SARIKEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei telah melaksanakan pemeriksaan ke sebanyak 1,046 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.

Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 61 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM63,174 dan jumlah kompaun RM7,200 sejak 1 Januari sehingga 8 April 2020 (semalam).

Ketua KPDNHEP Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, pihaknya telah dan sedang melaksanakan pemeriksaan harian di premis-premis perniagaan utama seperti di pasar raya besar, pemborong utama, mini market, kedai-kedai runcit dan lain-lain kategori premis perniagaan.

“Rutin pemeriksaan harian ini bagi memastikan barangan kawalan keperluan utama seperti gula, minyak masak dan tepung gandum sentiasa berada di pasaran dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, jika disabitkan kesalahan; individu boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya; dan syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga tidak melebihi RM3,000,000,” katanya menerusi satu kenyataan media, tengah hari semalam.

Katanya, sehubungan dengan itu, pihak kementerian menyeru dan menasihatkan peniaga tidak mengambil kesempatan dalam tempoh pelaksanaan PKP ini supaya sentiasa menyelenggara buku stok bagi membolehkan pihak kementerian dapat memantau penjualan barangan kawalan kepada pengguna, peniaga juga dinasihatkan tidak menaikkan harga barang kawalan sesuka hati dan tidak menyorok atau enggan menjual barang kawalan kepada pengguna.

“Jika didapati ada peniaga yang ingkar, tindakan tegas akan diambil.

“KPDNHEP Sarikei akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat pengguna di luar sana dapat menikmati barangan kawalan pada harga yang berpatutan.

“Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian whatsapp 019-2794317 atau hadir ke mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan KPDNHEP Sarikei beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan sebarang aduan di talian PPDNHEP KUCHING (082-466052), PPDNHEP SRI AMAN (083-323836), PPDNHEP SARIKEI (084-657751), PPDNHEP SIBU (084-329202), PPDNHEP KAPIT (084-799678), PPDNHEP BINTULU (086-332176), PPDNHEP MIRI (085-412862), PPDNHEP LIMBANG (085-217414), PPDNHEP MUKAH (084-872726) dan PPDNHEP LAWAS (085-283650).