Hebahan umum JaPen Lawas lancar

AWANG KUSHAIRY JUNAIDI

AWAT-AWAT (Lawas): “Mun kan bali-bali nendah, soang-soang saja kita ke kadai, mun kan ke klinik, nda payah beangkot amai-amai,” (Jika hendak pergi membeli barang, hanya seorang sahaja ke kedai, jika ke klinik jangan beramai-ramai).

Itu adalah antara ungkapan hebahan umum dalam dialek bahasa Kedayan yang dikendalikan oleh kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Lawas, baru-baru ini.

Kehadiran mereka adalah bagi membuat hebahan umum mengenai arahan pihak kerajaan supaya terus kekal berada di rumah masing-masing, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa pada Tahap 2, sekarang.

Mereka yang terdiri daripada lima kakitangan JaPen Lawas, memasuki segenap daerah kecil serta kampung di daerah Lawas, untuk memberi penerangan, maklumat dan arahan terkini.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Lawas, Idris Hassan, selain membuat hebahan umum, kakitangan juga memasang poster di segenap kawasan tumpuan ramai serta di kawasan perkampungan.

“Semua penduduk akan dimaklumkan mengenai maklumat yang dikeluarkan oleh kerajaan ketika PKP sekarang dan semuanya memberi kerjasama serta patuh arahan,” katanya.

“Ini adalah penting, supaya semua rakyat faham dengan langkah kerajaan untuk membuat PKP ini, agar dapat membendung penularan wabak Covid-19,” tambahnya lagi.

Selain dialek tersebut, mereka juga menggunakan bahasa Melayu Lawas dan bahasa tempatan yang lain, agar maklumat mudah difahami rakyat.

Selain di bandar Lawas, rombongan JaPen itu turut bergerak ke Ulu Trusan, Sundar, Kampung Noor Islam, Kampung Dato serta Kampung Pemukat di Kuala Lawas, CIQ Merapok, Jalan Punang dan Kampung Punang, Rumah Panjang Lajan dan berbagai lagi lokasi. Mereka juga merupakan barisan hadapan sebagai media penghubung kepada rakyat dan akan terus turun padang bergerak untuk menyampaikan maklumat terkini.