JPBM lakukan kerja sanitasi di 70 premis

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak telah melakukan kerja-kerja sanitasi di 70 premis terutamanya di kawasan tumpuan awam sejak 30 Mac sehingga Isnin lalu.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Tiong Ling Hii berkata, daripada jumlah tersebut, 20 operasi dijalankan di pasar awam, 14 di bangunan kerajaan, tempat ibadat (13), kawasan perumahan (tujuh), tempat perhimpunan (10), pengangkutan (empat) dan dua di pasar raya.

“Setakat ini, Kuching merekodkan jumlah terbanyak iaitu 30 operasi, diikuti Miri (13), Kota Samarahan (tujuh), Limbang (lima), Sibu (tiga), Sarikei (tujuh), Betong (tiga), dan masing-masing satu operasi di Sri Aman dan Bintulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Menurut Tiong, kerja-kerja sanitasi ini dilakukan setiap hari terutama di kawasan Zon Merah iaitu di Kuching serta Kota Samarahan.

Katanya, pihak bomba juga ada menerima permintaan untuk melakukan operasi sanitasi di penjara dan MASkargo.

Tambah Tiong, untuk satu operasi sanitasi, seramai 10 anggota yang akan ditugaskan dengan dibantu oleh kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengehadan bilangan anggota, katanya adalah untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.

Beliau memberitahu, ada di antara masyarakat yang mempertikai bilangan anggota barisan hadapan yang ramai berada di luar semasa PKP walaupun sebenarnya anggota-anggota ini keluar untuk menjalankan tugas.

Oleh yang demikian, kata Tiong, pihaknya mengambil pendekatan untuk menetapkan hanya 10 orang anggota untuk satu operasi.

Bercakap lanjut mengenai operasi sanitasi di bahagian Kuching, Tiong berkata, ada sesetengah lokasi, operasi dijalankan secara ad-hoc.

“Operasi seperti ini dijalankan kerana tidak menimbulkan panik dalam kalangan orang awam khususnya di kawasan petempatan.

“Kita juga mahu melindungi mereka yang kediamannya disanitasi daripada dipandang serong oleh masyarakat sekitar,” tegasnya.

KKM, ujar Tiong sangat berhati-hati berkenaan dengan maklumat peribadi dan lokasi mangsa tetapi bukanlah untuk menyembunyikan fakta.

Tindakan ini hanyalah untuk melindungi dan menjaga privasi mangsa yang terlibat daripada dipulaukan oleh masyarakat di sekeliling mereka, katanya.

Di Bahagian Kuching, operasi sanitasi semalam telah dijalankan di Pusat Penjaja Batu Lintang yang melibatkan kerja-kerja nyahcemar di tiga buah blok bangunan dan kawasan sekitarnya. Pada sebelah petang pula, operasi sanitasi telah dijalankan di dalam bangunan pasar di Jalan Upper Foochow dan kawasan sekitarnya.