Tiong agih bekalan perubatan, keperluan asas

BINTULU:  Ahli Parlimen Bintulu Datu Seri Tiong King Sing mengagihkan bantuan bekalan perubatan dan barangan keperluan asas kepada masyarakat Bintulu semalam.

Tiong bekata, selepas berminggu-minggu berhubung dengan China untuk mendapatkan ratusan ribu topeng pembedahan, peralatan perlindungan peribadi (PPE), perisai muka dan stoking pembedahan, memeriksa kualiti, memastikan logistik dan kastam ditangani dengan baik, akhirnya bekalan ini tiba di Bintulu dari Guangzhou dan dibawa kepada kakitangan barisan hadapan kita.

“Kita semua perlu memainkan peranan kita untuk membantu pahlawan berperang dengan pandemik ini. Kita semua tahu ia tidak mudah, perjuangan ini untuk menyembuhkan Malaysia daripada Covid-19,” kata beliau.

“Anggota polis yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berhadapan sukar. Para petugas dalam perkhidmatan perubatan tahu apa-apa kesilapan akan mempunyai risiko yang terlalu tinggi.

“Kita semua harus bersama-sama dalam perjuangan ini. Sedikit perjuangan pada masa ini tidak akan terlalu banyak untuk dibayar,” kata Tiong.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang berusaha keras membantu di dalam usaha ini.

Sementara itu, Pusat Khidmat Masyarakat P.217 Bintulu mula mengagihkan bantuan barangan keperluan asas  kepada golongan miskin dan ibu tunggal.

Bantuan berupa beras, minyak masak, makanan dalam tin, biskut, kopi, teh dan sebagainya itu bagi meringankan beban masyarakat di kawasan Parlimen Bintulu yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tiong berharap sumbangan yang diberikan itu secara tidak langsung membantu dalam meringankan beban setiap keluarga yang tidak dapat keluar mencari rezeki atau bekerja sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Pengagihan akan dilakukan secara berperingkat dan beliau berharap penduduk bersabar.