Sarawak tidak capai PKPD

SHEILA ZAIDI

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah positif yang Sarawak tidak akan mencapai tahap Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Karim berkata, melihat kepada tren jangkitan Covid-19 di negeri ini, beliau berpendapat bahawa PKPD mungkin tidak akan dilaksanakan di negeri ini.

“Melihat kepada tren jangkitan di Sarawak, kita mendapati ia tidak berjangkit dalam kelompok yang besar pada satu-satu masa.

“Oleh yang demikian, secara peribadi, saya rasa kita tidak akan sampai ke tahap PKPD,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media semalam.

Menurut Karim, setakat ini juga, tiada lokasi atau kawasan di Sarawak yang diisytiharkan akan menjalankan PKPD oleh pihak kementerian kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Beliau kemudiannya memohon kepada seluruh rakyat Sarawak untuk terus berada di rumah dan mematuhi arahan PKP yang sedang dijalankan ini bagi mengelakkan PKPD dijalankan.

Katanya, sekiranya PKPD dilaksanakan, ia akan menambah lagi kerumitan yang mana penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan langsung untuk keluar daripada kediaman mereka.

Perkara ini, katanya menyusahan rakyat sendiri dan menyeru semua golongan masyarakat untuk terus bekerjasama bagi mengelakkan ia daripada berlaku.

Sementara itu, semalam terdapat penambahan seramai 33 orang rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 318 orang yang telah ditempatkan di pusat kuarantin sebagai Orang Di bawah Pengawasan (PUS), ujarnya.

Di Kuching, 86 orang telah ditempatkan di Hotel Hock Lee manakala 87 orang lagi di Hotel Rajah Court Dormani.

Di Miri, 89 orang ditempatkan di Hotel Mega, 34 orang di Hotel Somerset dan Sembilan di Ostay Inn manakala di Limbang 13 orang telah ditempatkan di Hotel Purnama.