KPDNHEP Sarawak laksanakan pemeriksaan 387 kes, nilai rampasan RM2,409,179.71

ZARINA ABDULLAH

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 12,981 premis perniagaan di seluruh negeri melibatkan sejumlah 387 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM2,409,179.71 dan jumlah kompaun RM71,150.

Jurucakap KPDNHEP Sarawak berkata, pemeriksaan itu meliputi seluruh bandar dan luar bandar di Sarawak dari 1 Januari hingga 7 April.

“Untuk statistik, bagi kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sahaja telah menghasilkan sebanyak 212 kes, dengan nilai rampasan sebanyak RM17,689.27 dan jumlah kompuan sebanyak RM37,500.

“Sebanyak 35 Notis Pencatutan telah dikeluarkan bagi tempoh yang sama dan daripada jumlah tersebut sebanyak 15 notis dikeluarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, pihak kementerian menyeru dan menasihatkan semua peniaga untuk tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang tidak munasabah dalam tempoh pelaksanaan PKP ini.

“Para peniaga juga dinasihatkan untuk mengamalkan perniagaan yang beretika dan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati. Jika didapati ada peniaga yang ingkar, tindakan tegas akan diambil.

“KPDNHEP Sarawak akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan masyarakat pengguna di luar sana dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan tidak melakukan ‘panic buying’ kerana stok barangan keperluan mencukupi,” tambahnya.

Untuk sebarang aduan, boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317.

Sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan KPDNHEP Sarawak beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.