18 kes baharu positif Covid-19

SHEILA ZAIDI

KUCHING: Sarawak merekodkan lapan belas lagi kes baharu positif COVID-19 semalam menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 306 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkatra, daripada 18 kes tersebut, 14 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS), sementara tiga kes di Hospital Sibu dan satu kes dirawat di Hospital Miri.

“Sebanyak 67 kes baharu Orang Yang Disyaki (PUI) dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,864 kes.

“Daripada jumlah tersebut, 1,503 kes adalah negatif dan 55 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Menurut Karim, Kuching mencatatkan seramai 38 PUI semalam diikuti Samarahan 14, Miri (lima), Betong (tiga), Bintulu (dua) dan masing-masing seorang di Bau, Saratok, Sarikei, Sibu dan Marudi.

Berkenaan dengan kekurangan kemudahan serta keperluan yang terdapat di hospital pula, Karim memberitahu bahawa  kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri saling bekerjasama dalam mengatasi sebarang kekangan yang dihadapi.

Katanya, walaupun Kesihatan merupakan di bawah bidang kuasa Persekutuan, dalam situasi seperti ini, kerajaan negeri akan menanganinya bersama-sama.

Oleh sebab itulah JPBN Sarawak ditubuhkan bagi memudahkan lagi urusan di peringkat negeri, katanya.

Tambahnya, dalam menghadapi kekurangan kemudahan dan keperluan seperti topeng muka, mesin ventilator dan sebagainya, kerajaan negeri ada membantu dari segi kewangan.

Malah, kerajaan negeri turut menerima sumbangan daripada pihak swasta yang mana semalam sebanyak RM10.91 juta telah disalurkan oleh pelbagai syarikat korporat.

“Semua dana yang diterima ini adalah untuk membantu kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 termasuk untuk pembelian barangan seperti topeng muka atau keperluan lain yang diperlukan oleh pihak hospital.

“Kerajaan sedar akan kekangan yang dihadapi ini tetapi kadang kala dana tidak menjadi masalah, sebaliknya bekalan tidak mencukupi daripada pihak pembekal,” katanya.

Kata Karim, seluruh dunia sedang menghadapi masalah yang sama dan ini menyebabkan bekalan-bekalan barangan keperluan ini berkurangan.

Kerajaan walaubagaimanapun, akan terus berusaha bagi memastikan segala kekangan yang dihadapi ini dapat diselesaikan, ujarnya.