Tentera hantar makanan sejak 5 April

AKUN GIMAN

SIBU: Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat dilantik oleh Kerajaan Sarawak sebagai ‘focal agency’ untuk menyelaras dan membantu dalam pelaksanaan penghantaran bekalan makanan ke kawasan pedalamam di Negeri Sarawak.

Bagi melaksanakan penugasan itu, kumpulan bantuan terdiri daripada anggota tentera darat akan membuat tugas ‘loading’ dan ‘off loading’.

Manakala, kumpulan bantuan udara akan membuat tugas penghantaran bantuan makanan ke lokasi yang terpilih.

Aset-aset yang digunakan adalah sebuah pesawat EC 725 milik TUDM dan dibantu oleh dua buah pesawat EC 135 milik Hornbill Skyways Sdn. Bhd.

Program bantuan itu bermula daripada 5 hingga 10 April 2020 melibatkan lima bahagian iaitu DUN Mulu, Telang Usan, Batang Ai, Meluan dan Pakan yang membabitkan 19 buah lokasi.

Bario merupakan lokasi pertama penghantaran bekalan makanan melibatkan 400 pek dengan empat sortie pada 5 April lalu.

Pada 6 April, penghantaran bekalan makanan di sektor Miri dilaksanakan dengan sebanyak 428 pek di empat lokasi.

Manakala, pada 7 April hanya dua lokasi penghantaran membabitkan tiga sortie dan 328 pek makanan berjaya dihantar dan baki sebanyak enam lokasi tidak dapat diteruskan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Penglibatan syarikat Hornbill Skyways Sdn Bhd bermula di sektor Lubok Antu pada 7 April membabitkan 14 sortie dan 412 pek. Manakala, pada 8 April penghantaran membabitkan dua lokasi dengan 76 pek.

Program penghantaran bekalan makanan itu merupakan program kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan masyarakat di kawasan pedalaman mendapat manfaat serta mematuhi pengarahan PKP.

Sementara itu, Pemerintahan Markas Medan Timur, Major Mohd Afifi Azham berkata, agihan barangan keperluan di Julau dengan sebanyak 117 pek.

Antara penerima ialah Rumah (Rh) Manding, Nanga Banyu (18 guni), Rh. Matili, Nanga Setusel (6 guni), Rh. Anthony Bau, Rantau Tapang  (15 guni), Rh. Gerasi, Nanga Ju (36 guni), Rh. Nyalih, Lepong Bilat (26 guni) dan Rh. Suing (16 guni).