DUN Pakan terima bantuan makanan

AKUN GIMAN

PAKAN: Proses pengagihan bantuan makanan kepada penduduk terkesan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan kini sedang giat dijalankan.

Fasa pertama proses pengagihan bantuan tersebut melibatkan semua rumah panjang di sepanjang Jalan Engkamop dan Jalan Wak, Pakan melibatkan seramai 870 pintu.

Hari pertama pengagihan bantuan melibatkan 22 buah rumah panjang dengan 457 keluarga di kawasan Ulu Julau, Ulu Kota dan Dayu.

Dalam tempoh hari Jumaat dan Sabtu lalu sebanyak 1,000 buah keluarga telah menerima bantuan makanan tersebut.

Diikuti hari Selasa, sebanyak 1,000 lagi bantuan telah tiba untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan terbabit.

Proses pengagihan bantuan tersebut dijangka akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, agihan makanan tersebut disalurkan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada setiap kawasan DUN di negeri ini.

“Ia akan diagihkan secara berperingkat kepada semua penduduk di Sarawak termasuk kawasan DUN Pakan. Bertujuan untuk membantu meringankan bebanan rakyat di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi PKP bagi mengekang penularan wabak berbahaya Covid-19.