Golongan memerlukan diberi bantuan

ADI SAFARMAN

SIMANGGANG: Demi meringankan beban rakyat ketika tempoh sukar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19, Persatuan Kebajikan Projek Kebajikan Pensel Sri Aman tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Sumbangan barangan keperluan asas itu disumbangkan kepada penerima terpilih di sekitar kawasan luar bandar iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan yang terjejas akibat penularan wabak tersebut dalam mengurangkan beban terutamanya golongan memerlukan.

Setiausaha Persatuan Projek Pensel Sri Aman, Yen Jebeni berkata sehingga semalam pihaknya telah membantu sebanyak 70 buah keluarga yang mensasarkan rumah-rumah panjang jauh di kawasan pedalaman dan juga perkampungan Melayu.

“Program bantuan makanan ini dibuat atas inisiatif Pengerusi Projek Pensel iaitu Norina Umoi Utot dengan menggunakan dana peribadi beliau sendiri.

“Sehingga semalam, hampir 70 keluarga telah mendapat manfaat program ini yang mensasarkan rumah-rumah panjang jauh di kawasan pedalaman dan juga perkampungan Melayu.

“Dalam situasi masa sekarang kita faham kesusahan yang terpaksa mereka hadapi kerana agak sukar untuk mereka mendapatkan bekalan makanan.

Yen yang mewakili Persatuan Projek Pensel merayu agar kepada pihak lain terutamanya NGO yang sudi menghulurkan bantuan untuk bersama mereka berganding bahu menyumbangkan dana bagi meneruskan lagi program bantuan makanan yang sebegini.

Dalam pada itu, seorang daripada penerima bantuan dari Kampung Melayu Bakong, Said Amit berkata bantuan yang diberikan itu amat bermakna buat setiap keluarga yang mendiami rumah panjang dan kampung-kampung di luar bandar kerana makanan merupakan keperluan mendesak pada masa sekarang.

“Saya bagi pihak Kampung Melayu Bakong mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan Pensel, Norina Umoi Utot diatas sumbangan dan bantuan beliau hulurkan kepada warga asnaf di kampung ini dengan menggunakan dana peribadi beliau sendiri.

“Saya yakin dengan sedikit bantuan dan sumbangan yang beliau salurkan ini dapat membantu untuk meringankan sedikit bebanan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan mengalami kesusahan bagi mendapatkan bekalan makanan di sepanjang tempoh PKP yang telah berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu,” ujar Said.