Agihan bantuan makanan di Bukit Sari fasa pertama

ADENG IDRUS

LAWAS: Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari telah selesai mengagihkan bantuan sumbangan makanan untuk fasa pertama.

Sumbangan fasa pertama itu membabitkan 7,400 pek makanan yang disumbangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Ahi Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Sari.

Agihan melibatkan Zon Merapok dan Kuala Lawas, Zon Trusan, Zon Sundar dan Awat-awat, Zon Bandar Lawas, Zon Jalan Punang, Zon Punang dan Lawas Damit.

Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari Awang@Ibrahim bin Ahmat mengetuai penyelarasan agihan bersama petugas barisan hadapan Parti PBB Cawangan Bukit Sari.

Turut memantau proses agihan ialah Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok yang turut meminta pihak pengedar untuk menyerahkan nama pembekal kepada beliau bagi tujuan menambah jumlah bekalan.

Ini berikutan bekalan utama seperti beras, gula, minyak masak dan tepung daripada pembekal di Sabah lambat sampai kepada pihak pengedar di Lawas.

Namun demikian pasukan ini terus bergerak untuk mengedarkan batuan fasa kedua Selasa lalu secara berperingkat mengikut jumlah stok bekalan yang ada.

Turut membantu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengiringi pasukan petugas PBB Bukit Sari ke setiap lokasi dan mematuhi peraturan kesihatan serta keselamatan.

Proses mengagihkan bantuan sumbangan pek makanan ini diteruskan sehingga setiap individu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari menerima bekalan berkenaan.

Sumbangan makanan fasa kedua melibatkan peruntukan kerajaan GPS yang berjumlah RM200 ribu setiap ADUN atau wakil rakyat GPS.

Awang@Ibrahim juga mengesahkan bantuan ini adalah menyeluruh tanpa memilih parti, latar belakang mahupun status penerima.

“Kita bantu semua kerana pada waktu ini semua individu wajib dibantu tanpa mengira mereka itu orang daripada Semenanjung, Sabah atau warga negara lain.

Ini adalah arahan Datuk Amar Awang Tengah yang mahu setiap keluarga di Lawas mendapat bekalan makanan sepanjang PKP. “Selain itu, setiap barangan juga diperiksa tarikh luput agar tidak menjadi bahan viral pihak tertentu yang mengambil kesempatan,” katanya.