GIATMARA Saratok sumbang PPE untuk barisan hadapan

ADI SAFARMAN

SARATOK: Pusat GIATMARA Saratok memberi komitmen tinggi bagi membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 dengan menyumbang peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan Hospital Saratok.

Pengurus GIATMARA Sararok Abadi Hussein berkata, prihatin terhadap masalah kekurangan peralatan PPE yang dihadapi petugas perubatan, tenaga pengajar serta bekas pelatih Pusat GIATMARA Saratok menawarkan diri menjahit peralatan itu.

Beliau berkata seramai 10 tenaga pengajar serta bekas pelatih Pusat GIATMARA Saratok telah terlibat dalam menghasilkan PPE itu bagi kegunaan petugas Hospital Saratok itu.

“Pusat GIATMARA Saratok menyahut cabaran sebagai tanda penghargaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan khususnya perubatan selain sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan perkhidmatan menjahit PPE.

“Ia sekali gus mengurangkan beban kerja ditanggung pihak hospital dalam menangani wabak tersebut.

“Kami sedar keperluan PPE dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa kerana tempoh memerangi wabak Covid-19 akan berterusan sehingga usaha memutuskan rantaian jangkitannya berhasil.

“Selaras dengan usaha itu, sebanyak 64 unit PPE iaitu untuk pelindung kepala telah dihasilkan seperti yang dimohon oleh pihak Hospital Saratok sebelum ini,” katanya.

Menurut Abadi, pihaknya kini diminta untuk hanya membuat sebanyak 64 PPE berdasarkan permintaan oleh pihak Hospital, namun jika ada keperluan mendesak pihaknya bersedia untuk membantu lagi. Tambahnya, Pusat GIATMARA berbesar hati dapat menyumbang tenaga dalam membantu mengatasi kekurangan bekalan PPE untuk petugas kesihatan di daerah ini.