Diserbu KPDNHEP jual topeng mulut, hidung lebih harga

HENRY B SIYU

MUKAH: Sebuah premis peniagaan di Pekan Dalat telah didapati menjual topeng muka dengan harga yang melebihi harga maksimum pada hari Rabu(8 April)

Menurut Ketua Cawangan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Cawangan Mukah, Salihin Den, kedai tersebut menjualnya dengan harga yang tinggi .

“Bertindak di atas aduan yang diterima daripada orang awam melalui  media masa, sepasukan anggota penguatkuasa kami telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah  premis di sana yang menjual topeng muka 3 lapis pada harga yang sangat tinggi,” ujarnya.

Setelah ‘test purchase’ dan pemeriksaan yang dijalankan, pihak kami mendapati peniaga menjual topeng dengan harga RM2.50 seunit dan melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM1.50 bagi topeng jenis itu.

“Berikutan itu, pihak penguatkuasa kami yang diketuai oleh Betram Bill menyita 40 unit topeng muka tersebut yang bernilai sebanyak RM100. Walaupun jumlah rampasan itu tak lah sebesar mana, namun yang penting mesejnya,” tambah dia lagi.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media yang diadakan di Pejabat KPDNHEP Cawangan Mukah di sini pada hari Khamis(9 April).

Kes tersebut telah diambil di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan(AKHAP) 2011 iaitu mana-mana orang yang menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barangan yang terkawal yang mengutip deposit selain mengikut harga atau caj yang ditentukan oleh pengawal.

“Sekiranya suspek didapati melakukan kesalahan, akan di dakwa di bawah AKHAP 2011 dan jika disabit kesalahan jika individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya. Kalau syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” tambah Salihin.

Selain itu, beliau  juga mendedahkan bahawa sehingga 8 April, KPDNHEP Mukah telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebanyak 1119 premis perniagaan di bandar dan luar bandar.

“Daripada pemeriksaan itu telah menghasilkan sebanyak 39 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM54,102.98 dan jumlah kompaun sebanyak RM16,050. Pemeriksaan secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga(PPH) dan Pengawai Penguatkuasa dilaksanakan bagi memastikan barangan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKN) ini mencukupi dan dengan harga yang berpatutan,” tambah dia lagi.

Ujarnya, sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau  Portal e-aduan kpdnhep di htt://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau datang ke pejabat supaya tindakan sewarjarnya boleh diambil.

“Untuk pengatahuan bersama, sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan Pejabat KPDNHEP Mukah dibuka dari jam 8.00 pagi hingga petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan ke talian 084-872726,” kata Salihin.