Lakukan kerja sekolah di ladang sawit

ADI SAFARMAN

SIMANGGANG: Buat tugasan sekolah dalam ladang sawit…..Itulah keadaan sekumpulan enam pelajar sanggup berkorban demi menyiapkan tugasan sekolah disebabkan ketiadaan rangkaian internet di kawasan rumah panjang mereka.

Kekurangan akses internet pembelajaran secara atas talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbukti menjadi cabaran kepada sekumpulan enam pelajar dari Rumah Panggau, Pakit ini yang berjuang untuk memastikan kelas berterusan walaupun berlaku krisis disebabkan Pandemik Covid-19.

Seorang ibu kepada pelajar Mary Stephen memberitahu, senario belajar di kawasan ladang sawit bagi anak-anak Rumah Panjang Panggau itu adalah merupakan alternatif lain bagi bertujuan mencari akses internet yang tidak mendapat langsung liputan rangkaian di kawasan rumah panjang mereka.

Beliau juga turut berharap pihak kerajaan dan juga agensi berkenaan agar meningkatkan lagi kemudahan internet di kawasan terpencil di negeri ini.

“Ini adalah keadaan anak-anak di Kampung Panggau Sri Aman apabila berlakunya PKP dan sekarang ini guru sekolah menggunakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

“Sekarang ini kita menghadapi masalah ketiadaan talian internet di rumah panjang, jadi kita tidak ada cara lain kecuali dengan menggunakan alternatif lain dengan membawa anak-anak ini ke kawasan yang boleh diakses talian internet seperti di kawasan ladang kelapa sawit iaitu tidak berjauhan daripada kawasan rumah panjang kami ini.

“Saya berharap kepada pihak kerajaan atau pihak-pihak berkenaan yang lain semoga dapat meningkatkan lagi kemudahan internet di kawasan kampung kita ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semalam.

Bagi seorang pelajar, Fiorella Felix berkata, beliau telah mendapat arahan setiap hari daripada cikgu sekolah beliau untuk menyiapkan tugasan dan mesti dihabiskan pada masa yang ditetapkan walaupun mengalami masalah ketiadaan akses internet di rumah panjang mereka.

“Cikgu bagi banyak kerja sekolah pada kami dan masalahnya kampung kami tidak mendapat liputan internet, jadi kami berkumpul dekat sini buat kerja sekolah yang cikgu bagi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Persatuan Kebajikan Projek Pensel Sri Aman sebaik sahaja mendapat tahu kesukaran sekumpulan pelajar tersebut yang tidak mendapat kemudahan belajar dengan sempurna mereka tampil memberi sumbangan berupa meja, kerusi dan juga kanopi untuk mereka berteduh daripada kepanasan sekali gus memberi keselesaan kepada mereka untuk belajar di situ.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Projek Pensel, Yen Jebeni berkata, pihaknya dimaklumkan oleh ibu bapa pelajar terbabit melalui hantaran gambar pada aplikasi Whatsapp semalam.

“Setelah mendapat tahu masalah yang dihadapi oleh anak-anak dari Kampung Panggau ini belajar di kawasan ladang sawit untuk mendapatkan liputan internet, kami dari Persatuan Projek Pensel telah mengambil inisiatif untuk menyediakan kanopi, kerusi dan meja lipat untuk memberi sedikit keselesaan mereka belajar dekat sini.

“Sekumpulan anak-anak ini juga sebelum ini turut mendapat bantuan sumbangan keperluan sekolah berupa pakaian, buku dan alat tulis yang telah disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Projek Pensel, Norina Umoi Utot baru-baru ini,” jelas Yen.