Indahnya sulaman manik Hafsah

KREATIF… Hafsah Sulaiman menunjukkan sulaman manik untuk penyambung pelitup hidung dan mulut.

MINAT terhadap anyaman sejak dibangku sekolah lagi,  mencetus fenomena luar biasa buat insan bernama Hafsah Sulaiman untuk menyelusuri dengan lebih mendalam bidang sulaman manik.

Bakat selain keinginan menggunung menjadikan ibu kepada empat cahaya mata ini berazam meletakkan hasil sentuhan tangannya dikenali umum.

Dengan kepelbagaian corak yang dihasilkan sekali gus seakan cuba menyampaikan mesej tersendiri dari setiap apa yang dihasilkannya selama ini.

Memanjang bual bicara ketika ditemui, Hafsah mengakui, dirinya begitu minat dalam mata pelajaran lukisan ketika di sekolah selain anyaman.

Mungkin katanya, minat dari hubung kait naluri yang sama penyumbang kepada kecenderungan dirinya untuk beralih arah kepada anyaman atau sulaman manik.

“Diawal percubaan menghasilkan sulaman manik sememang mencabar. Bayangkan, pengalihan bakat melukis kepada menganyam berteraskan manik agak berbeza.

“Namun, berbekal semangat ingin maju dalam segala bidang diceburi menjadi inpirasi kepada saya untuk mudah melakukan sesuatu kerja,” jelas Hafsah.

Sambil mengakui, sifat berani mencuba selain sentiasa memperkemaskan diri dengan mempelajari sesuatu yang baharu setiap masa berjaya mengubah ketrampilan hasil sentuhan tangan emasnya itu.

“Jika sebelum ini saya lebih gemar menghasilkan sulaman manik dengan reka cipta biasa.

“Namun, perubahan masa serta tuntutan umum yang mahu melihat satu kelainan memberi dorongan kepada saya mempelbagaikan ciptaan,” tambah Hafsah lagi.

Bermula dari penghasilkan sulaman yang berkisah kepada dunia semasa sehingga adunan suasana alam semula jadi dan sebagainya.

Lantaran, menyaksikan setiap sulaman manik yang dihasilkannya ketika ini sering menjadi bualan serta buruan kebanyakan pihak.

Jelas Hafsah, sulaman manik dihasilkannya bukan untuk memperhebatkan perhiasan baju kurung, kebaya dan sebagainya.

Bahkan, kini menular menjadi alat penyambung topeng muka mulut dan hidung yang menjadi kegunaan azali bagi semua lapisan masyarakat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan 18 Mac lalu ekoran penularan virus berbahaya (Covid-19).

“Sehingga kini saya bagaikan tidak senang duduk menghasilkannya yang pada masa sama terpaksa mengikut kehendak corak diinginkan bagi individu yang ingin menggunakan hasil kerja tangan saya,” menurutnya.

Mungkin, bagi sesetengah umum yang melihat tuntutan kearah itu sebagai satu bebanan berganda.

Akan tetapi tidak bagi diri saya yang menganggap, setiap pembaharuan dihasilkan daripada sulaman manik yang berupaya memberi kepuasan berganda.

Meskipun, jauh disudut hati memikirkan kebolehan menghasilkan sulaman manik yang bagus untuk menjadikannya sebagai mata pencarian tambahan.

Oleh Faizal Bujang