Penduduk ambil langkah berjaga kemasukan orang luar

PANTU: Penduduk luar bandar terus mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemasukan orang luar berhubung penularan pandemik Covid-19 di negara ini termasuk Sarawak.

Ia terbukti apabila dua buah rumah panjang di sini bertindak mendirikan papan tanda amaran kemasukan orang luar berhubung penularan pandemik tersebut di simpang jalan masuk ke penempatan mereka iaitu Selantik Ili dan Rapak di sini.

“Saya dan penduduk kampung sebulat suara bertindak mendirikan papan tanda amaran kemasukan orang luar selepas kawasan Sri Aman dilaporkan mencatat satu kes positif Covid-19 pada awal bulan ini.

“Ini tindakan awal kami bagi mempertahankan diri daripada jangkitan pandemik itu. Justeru jika ada orang luar ingin masuk ke penempatan ini, maka mereka harus melaporkan kepada pihak kami terlebih dahulu,” kata Tuai Rumah Selantik Ili, Hearold Ernest.

Beliau turut menasihat orang luar agar tidak memasuki rumah-rumah panjang dalam kawasan Pantu melainkan mereka sebelum ini mempunyai saudara terdekat yang tinggal di sana pada masa sekarang.

“Bagaimanapun jika datang dari kawasan zon merah, maka adalah lebih baik buat mereka untuk tidak berkunjung ke rumah panjang sanak saudara sendiri demi mengelak risiko penyebaran pandemik itu kelak.

“Fikirkan keselamatan sanak saudara anda. Jika ingin menemui mereka pastikan selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan atau setalah berakhirnya pandemik ini nanti,” katanya.

Tinjauan lanjut Utusan Sarawak juga mendapati penduduk di kawasan Rapak bertindak mendirikan papan tanda amaran terhadap orang luar setelah mendapati satu kes positif pandemik itu di Sri Aman pada awal bulan ini.